MAC 2023

Sarawak Bangunkan Projek Hidroelektrik Di Kalimantan Utara


SAMARAHAN: Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) membangunkan projek hidroelektrik di Sungai Mentarang, Kalimantan Utara, Indonesia.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata SEB mempunyai ekuiti lebih kurang 25 peratus dalam projek itu melaksanakan projek secara kerjasama dengan syarikat Indonesia.

Katanya, projek ini berkapasiti 1, 375 megawatt dibangunkan bagi membekalkan tenaga elektrik ke taman perindustrian di Kalimantan Utara yang juga sedang dibangunkan.

"Walaupun dilaksanakan di Indonesia,  ia juga akan memudahkan kita melaksanakan sekurang-kurangnya Borneo grid, kita tahu Sarawak memberi penekanan kepada sektor tenaga hijau diperbaharui," katanya selepas menyampaikan cek pampasan bagi projek di Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Samarahan di sini.

Seramai 111 orang menerima cek pampasan bagi projek cadangan jalan Kampung Tegelam dan Sungai Alit, projek jalan Kampung Sungai Tanju/Kampung Beliong Ke Kampumg Lubok Kura dan projek Skim Pembesaran Kampung Reban.    

Awang Tengah berkata, ini akan membolehkan Sarawak berpotensi menjadi sebahagian kuasa utama bagi kawasan rantau ini lebih-lebih lagi dengan pembangunan Nusantara sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Katanya, bagi pihak Malaysia, kerajaan bersetuju memberi keutamaan ini di Tebedu, Entikong dan Ba'Kelalan yang akan meningkatkan perdagangan kawasan sempadan.

Sumber dari : Jiwa Bakti